suria

Yang Dipertua Sarawak Terima Elaun Perumahan RM72,000 Setahun

KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan menerima elaun perumahan RM72,000 setahun susulan pindaan 'Civil List Ordinance 1963 (Revised 2000)', kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata memandangkan ketua negeri tinggal di kediaman sendiri, kerajaan negeri mengusulkan agar elaun perumahan itu dibayar kepadanya, sama seperti yang dinikmati anggota pentadbiran awam lain.

"Elaun sedemikian dilihat perlu bagi penyelenggaraan kediaman beliau," kata Jabu ketika membentangkan usul yang kemudian diluluskan pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, Selasa.

Katanya sejak 19 Dis 2011, Abang Muhammad Salahuddin yang berasal dari Sibu, tinggal di kediaman sendiri beralamat No. 88, Sri Impian, Kampung Temenggong, Jalan Matang di sini, manakala kediaman rasmi Astana diguna untuk majlis rasmi dan sebagai pejabat.

"Yang Dipertua Negeri kita juga perlukan hak kebersendirian ketika berada di kediaman sendiri," katanya.

Di bawah ordinan itu, beliau turut layak menikmati 'Privy Purse' (perbelanjaan) berjumlah RM215,280 setahun dan Elaun Tugas sebanyak RM152,490 setahun. -BERNAMA

Artikel Lain