suria

Himpunan Hijau Punca Lalu Lintas Sesak, Imej Negara Buruk

KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang yang disertai kira-kira 2,000 orang di sekitar Dataran Merdeka di sini menyebabkan kesesakan trafik melampau selain menjejasperancangan penduduk pada hujung minggu.

Sebelum himpunan dua jam itu bermula pada 4 petang, pesertanya dilihat berarak sejauh 42 Kilometer dari Gombak menyebabkan kesesakan trafik yang keterlaluan.

Tinjauan Bernama mendapati banyak laluan ke ibu negara sesak dengan kenderaan termasuk di Jalan Maharajalela, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail.

Malah peserta perhimpunan turut membanjiri jalan raya sehingga menghalang kenderaan yang menuju pusat bandar menyebabkan polis terpaksa menutup laluan di Jalan Raja Laut dan Jalan Masjid India.

Antara yang dilihat hadir pada perhimpunan itu ialah Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Anggota Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Himpunan itu diadakan tanpa permit polis dan ia juga gagal mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama.

Peniaga gerai minuman, Rahman Ahmad, 39, berkata perhimpunan itu menyebabkan perniagaannya di Masjid India terjejas.

"Kebanyakan pelanggan saya lari setelah melihat mereka... ada juga yang tidak sempat bayar," katanya.

Jururawat Hospital Kuala Lumpur, Azizah Daud, 40, pula kesal dengan perhimpunan itu yang dilihat boleh mencemar imej negara dan memberi gambaran negatif kepada pelancong asing.

"Saya melihat sendiri peserta perhimpunan menghalau segelintir pelancong asing yang ingin mengambil gambar di Dataran Merdeka. Ini memalukan negara kita," katanya.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Ashraf Mohamad, 20, terpaksa membatalkan hasrat membeli barangan persekolahan setelah adiknya sesak nafas berikutan terperangkap dalam kalangan peserta himpunan itu.

"Saya tidak menjangka perkara ini berlaku. Peserta himpunan ini tidak memikirkan akibat tindakan mereka kepada orang lain," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan