suria

Amanat Presiden Jadi Fokus Perhimpunan Agung Umno 2012

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2012 membuka tirainya secara rasmi pada Khamis dengan fokus kepada amanat Perdana Menteri yang juga Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai persediaan Umno memimpin Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kepimpinan Umno dijangka menekankan mesej perpaduan dan kesiapsiagaan di kalangan lebih tiga juta anggota Umno di samping meyakinkan rakyat bahawa Umno dan sekutunya dalam BN adalah pilihan terbaik dalam memacu negara ke arah masa depan yang lebih terjamin dan stabil.

Perhimpunan yang dihadiri 2,759 orang perwakilan akan berlangsung selama tiga hari di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Najib sebelum ini menekankan peri pentingnya setiap anggota Umno patuh dan berpegang kepada disiplin keorganisasian ekoran prestasi merosot BN pada pilihan raya umum 2008.

Majlis perasmian bermula sekitar 9 pagi dengan ketibaan Najib yang kemudiannya memeriksa barisan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum menaikkan Bendera Umno, Sang Saka Bangsa.

Selain ucapan dasar Presiden, perwakilan juga akan membahaskan usul mengenai ekonomi, agama dan pendidikan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain