suria

105 Wanita Warga Asing Dikurung Agensi Pembantu Rumah Diselamatkan

PELABUHAN KLANG: Jabatan Imigresen Selangor cawangan Pelabuhan Klang menyelamatkan 105 wanita warga asing yang dikurung di premis empat tingkat sebuah syarikat agensi pembantu rumah, di Bandar Baru Klang dekat sini dalam satu serbuan Sabtu.

Pengarahnya Amran Ahmad berkata dalam serbuan kira-kira pukul 7.45 pagi itu mendapati kesemua wanita berusia antara 18 dan 25 tahun itu dikunci di tingkat tiga dan empat premis berkenaan yang terletak di sebelah atas syarikat agensi pembantu rumah terbabit.

"Kesemua wanita itu terdiri daripada 95 warga Indonesia, Filipina (enam) dan Kemboja (empat) yang hanya memiliki pas lawatan sosial dan dipercayai telah masuk ke negara ini antara satu hingga enam bulan lepas," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata 12 orang turut ditahan terdiri daripada tiga lelaki tempatan yang dipercayai pekerja agensi terbabit serta sembilan wanita masing-masing lima wargan Indonesia, tiga Kemboja dan seorang Filipina yang merupakan penyelia kepada kumpulan wanita yang diselamatkan.

"Berdasarkan siasatan, kesemua wanita yang diselamatkan dipercayai diperdaya untuk menjadi pembantu rumah secara bulanan dan harian namun tidak menerima gaji setelah berkhidmat sejak kira-kira enam bulan lepas.

"Kesemua wanita terbabit akan dihantar setiap pagi dengan sebuah van ke rumah-rumah sekitar Klang untuk perkhidmatan pembantu rumah dan ditempatkan di premis empat tingkat itu serta tidak dibenarkan keluar," katanya.

Amran berkata kesemua wanita terbabit dijanjikan gaji RM700 sebulan namun tidak menerimanya apabila agensi terbabit memberikan alasan mereka perlu menyerahkan gaji selama tujuh bulan sebagai bayaran untuk bekerja di negara ini.

Beliau berkata agensi berkenaan yang beroperasi secara berlesen dipercayai sejak lima tahun lepas, bagaimanapun melakukan kesalahan kerana kesemua wanita yang diambil berkhidmat bersama mereka hanya memiliki pas lawatan sosial bukannya permit bekerja yang sah.

Katanya, kesemua wanita yang diselamatkan turut mendakwa mereka dikasari selain makanan dicatu oleh agensi berkenaan serta ada antara mereka yang dipaksa makan kertas setiap kali cuba melawan atau menuntut hak mereka.

Amran berkata sehubungan itu, pihaknya sedang mencari seorang lelaki tempatan iaitu pemilik agensi pembantu rumah berkenaan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata kesemua wanita terbabit diselamatkan di bawah Seksyen 44(1) Akta Anti Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta dihantar ke Rumah Perlindungan Bukit Ledang, Damansara sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Lelaki tempatan dan wanita yang dipercayai penyelia kepada kumpulan wanita terbabit ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda.

Operasi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen M.Chandran bersama 20 pegawai Jabatan Imigresen Selangor Cawangan Pelabuhan Klang. BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain