suria

37 Premis Di Terengganu Masih Belum Memiliki FC

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 37 daripada 108 premis di seluruh negeri ini masih gagal memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC) kerana belum memenuhi spesifikasi ditetapkan di bawah seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT), Md Salleh Sarbini berkata jumlah itu melibatkan sebanyak 22 premis swasta dan 15 premis kerajaan.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak 71 premis iaitu 59 premis swasta dan 12 premis kerajaan telah berjaya memperoleh sijil berkenaan.

"Baki 37 premis ini masih dalam proses untuk memiliki FC dan masih belum mematuhi syarat ditetapkan seperti belum menyelenggara peralatan kebakaran dan tidak memenuhi spesifikasi aspek keselamatan ditetapkan.

"Selepas membuat perjumpaan dan seminar bersama pemilik premis, kami mendapat reaksi yang positif dan sehingga hari ini kesemua pemilik sudahpun membuat permohonan demi keselamatan pendudukan bangunan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan JBPNT, di sini, Rabu.

Menurutnya sebelum ini terdapat tiga premis yang telah dikenakan tindakan akibat gagal memenuhi FC yang ditetapkan dibawah Perintah Perkhidmatan Bomba (Premis Ditetapkan) 1998 yang berkuatkuasa pada 23 Julai 1998.

Bagaimapun jika mana-mana premis yang didapati melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata sijil perakuan itu penting kerana ia hanya dikeluarkan untuk bangunan yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan dan pihak bomba akan membuat pemeriksaan, sekiranya premis menepati ciri keselamatan, kelulusan akan diberi.

Menurutnya bangunan yang tidak memiliki ciri tersebut akan terdedah kepada bahaya bagi penghuninya jika terperangkap dalam premis yang tidak dilengkapi peralatan pencegahan kebakaran.

“Sijil Perakuan Bomba ini perlu diperbaharui setiap tahun. Mana-mana premis yang telah ditetapkan dan didapati gagal menyelenggara mengikut piawaian ditetapkan, tindakan akan diambil dan pihak jabatan tidak akan keluarkan sijil kepada mereka.

“Jadi, mereka perlu sentiasa memastikan peralatan kebakaran diselenggara dengan baik dan mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sehingga Oktober tahun ini JBPNT menerima sebanyak 2,120 panggilan kecemasan yang meliputi 874 panggilan kebakaran, 1,192 panggilan menyelamat dan 54 panggilan khidmat khas.

Katanya, jumlah itu menurun berbanding sepanjang tahun lalu dimana mencatat 2, 404 panggilan kecemasan meliputi 815 panggilan kebakaran, 1,548 panggilan menyelamat dan 41 panggilan khidmat khas. BERNAMA

Artikel Lain