suria

Akta Pantau Pusat Kecantikan Bakal Diwujud- Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang menimbang untuk mewujudkan akta bagi memantau aktiviti pusat-pusat kecantikan dan mengambil tindakan jika berlaku sebarang salah laku, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pada masa ini tiada sebarang peruntukan undang-undang di bawah kementerian bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pakar kecantikan tidak bertauliah yang melakukan aktiviti di luar bidang kerja termasuk penyuntikan, yang hanya boleh dilakukan oleh doktor perubatan.

"Kementerian memang dalam kajian wujudkan akta baharu untuk pantau pakar kecantikan dan terapi. Bila mereka jalankan kerja-kerja di luar bidang, ia adalah satu jenayah. Kita akan bincang lebih lanjut untuk pastikan penguatkuasaan berkesan," katanya menjawab soalan tambahan Senator Noriah Mahat pada persidangan Dewan Negara pada Selasa.

Noriah bertanya mengenai langkah kementerian memantau pusat-pusat kecantikan yang menawarkan khidmat suntikan kosmetik dan menyemak sama ada bahan-bahan yang digunakan mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

Menjawab soalan lain Noriah mengenai lambakan produk tambahan kesihatan termasuk pelangsingan badan, Liow menggalakkan pengguna agar kerap memeriksa status produk yang meragukan di laman web Kementerian Kesihatan.

"Semua produk yang berdaftar dengan kementerian disenaraikan dalam laman web. Kalau tidak berdaftar kita minta orang ramai jangan beli kerana kita tidak tahu kandungannya dinilai atau tidak," tegasnya.

Dalam pada itu, Liow berkata Rang Undang-undang Farmasi yang menggabungkan lima akta sedia ada untuk memberi lebih kuasa kepada kementerian menangani masalah lambakan ubat dan produk kosmetik tidak berdaftar dan tiruan akan dibawa ke Parlimen tahun depan.

Menurutnya rang undang-undang itu telah siap dan sedang dipamerkan di laman web kementerian untuk mendapatkan makluman balas daripada orang ramai.

Rang undang-undang yang dicadangkan itu antara lain menggabungkan Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

Terdahulu, Liow berkata kementerian merampas produk kesihatan dan kecantikan yang menyalahi undang-undang bernilai RM18.86 juta sehingga September lepas.

Tahun lepas, jumlah rampasan adalah RM29.5 juta, katanya menjawab soalan Senator Boon Som Inong mengenai jumlah rampasan produk kesihatan yang membahayakan pengguna.

Mengulas lanjut, Liow berkata produk yang dirampas itu antara lain tidak berdaftar dengan kementerian walaupun mengandungi racun, seperti perangsang seks, steroid dan antibiotik, produk 'over the counter' tidak berdaftar seperti paracetamol, jamu dan balsem serta produk tradisional tidak berdaftar.

Beliau berkata Bahagian Penguatkuasaan Farmasi kementerian menjalankan pemantauan pasaran, pemeriksaan rutin, serbuan dan rampasan secara berterusan selain mendakwa di mahkamah bagi memerangi masalah itu. BERNAMA

Artikel Lain