ALOR SETAR: Dua beradik dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada bot fiber yang dinaiki bersama bapa saudara dan seorang lagi saudara mereka selepas bot itu senget, ketika bersiar-siar di muara Kuala Kedah Isnin.Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang tadi, Mohammad Hafiz Anuar, 4, dan Mohammad Asyrik, 9, terjatuh ke dalam sungai bersama bapa saudaranya, Md Affendi Ismail, 27, serta kembar Mohammad Asyrik iaitu Mohammad Asyraf, ketika bapa saudara mereka sedang membelok bot tersebut untuk pulang ke jeti. Md Affendi dan Mohammad Asyraf berjaya diselamatkan nelayan manakala Mohammad Hafiz serta Mohammad Asyrik hilang dan belum ditemui sehingga kini.Md Affendi, yang mengemudi bot itu, berkata beliau membawa mereka bersiar-siar selepas tiga beradik tersebut memintanya berbuat demikian."Mereka selalu ajak saya naik bot, tetapi saya tidak endahkan. Tetapi hari ini, mereka menunggu saya di rumah dari pukul 8 pagi sampai 4 petang kerana mahu mengajak saya bersiar menaiki bot. Saya bawa mereka pada kira-kira pukul 4.10 petang dan menasihatkan mereka supaya jangan main air."Tetapi semasa saya membelok untuk pulang semula ke jeti, pasangan kembar itu bermain air menyebabkan bot senget dan kami semua terjatuh ke dalam sungai," katanya ketika ditemui pemberita di rumah emaknya di Taman Kota Nelayan di sini.Md Affendi berkata semasa mereka terjatuh, beliau sempat memegang ketiga-tiga anak saudaranya sebelum dia sendiri hampir lemas."Semasa saya lemas, saya terlepas tangan Asyrik dan Hafiz. Saya dan Asyraf diselamatkan oleh nelayan yang berada berhampiran kawasan itu manakala Asyrik dan Hafiz terus tenggelam," katanya yang bekerja sebagai nelayan.Mohammad Asyraf dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan.Mohammad Hafiz tinggal bersama Md Affendi sejak kecil dan telah beberapa kali menaiki bot itu. Pasangan kembar itu pertama kali menaiki bot tersebut.Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja Mohd Izham Abdul Rahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 5.07 petang, dan seramai lapan anggota dikejar ke tempat kejadian."Kita juga telah menghubungi unit skuba bagi membantu proses mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang," katanya.Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sehingga ke laut dengan bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). BERNAMA