suria

Wartawan Hasilkan Aplikasi iPhone Untuk Kemudahan Pelajar Malaysia Di Australia

MELBOURNE: Seorang wartawan penyiaran warga Malaysia menghasilkan aplikasi iPhone dan iPad untuk kemudahan pelajar Malaysia yang baru tiba di negara ini.

Aplikasi "Malaysia in Melbourne" yang dihasilkan oleh Juliet John, antara lain memuatkan perkhidmatan dan acara yang diadakan di Konsulat Malaysia dan maklumat mengenai kedai dan restoran yang menjual bahan makanan Malaysia termasuk restoran halal itu akan dilancarkan Mac depan secara percuma.

John, lulusan ijazah sarjana Media dan Komunikasi Global dari University of Melbourne dan ijazah Sarjana Muda Psikologi dari University of South Australia, ialah ketua perhubungan awam di MELVIA, sebuah studio pembangunan aplikasi dan permainan di sini.

Katanya kebanyakan pelajar Malaysia berasa sukar menyesuaikan diri selepas tiba di sini dan berharap aplikasi iPhone dan iPad yang dihasilkannya dapat membantu mereka.

Ramai pelajar Islam tidak tahu di mana untuk membeli makanan halal dan lainnya mungkin berdepan kesulitan untuk mencari kemudahan penginapan dan perkhidmatan, katanya kepada Bernama.

Beliau berharap "Malaysian to Melbourne" akan menjadi sumber maklumat kepada pelajar di Australia dan menurutnya aplikasi itu turut mengandungi maklumat mengenai peluang kerja dan latihan dan perkara berkaitan kesihatan dan kebajikan. BERNAMA

Artikel Lain