KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat pengagihan bantuan kepada mangsa banjir bagi memastikan ia dibuat mengikut tatacara yang tepat.Pengarah SPRM Pahang Moh Shamsuddin Yusof berkata berdasarkan siasatan terhadap bantuan itu, terdapat beberapa kelonggaran dan kes tersebut dirujuk kepada jabatan yang terlibat untuk tindakan selanjutnya. "Setiap tahun, Jabatan Audit Negara ada menegur mengenai bantuan banjir yang tidak mengikut tatacara yang tepat."Kita akan pantau kes jika ada aduan pihak yang layak terima bantuan tapi tidak terima, dan ada juga (kes) telah diberi bantuan tapi bantuan tidak sampai," katanya kepada pemberita Rabu.Beliau berkata kebanyakan laporan yang diterima SPRM berkaitan bantuan adalah melalui surat.Katanya, bantuan yang tidak diagih mengikut tatacara yang betul akan memberi implikasi kepada kerajaan dengan gambaran pengagihan tidak adil.Sementara itu, Moh Shamsuddin turut memaklumkan berkaitan perpindahan pejabat SPRM Pahang ke lokasi baharu di Kompleks SPRM Bandar Indera Mahkota, Kuantan serta nombor telefon 09-5716 000 manakala talian lain masih menggunakan nombor lama. BERNAMA