suria

54 Peserta 4x4 Terperangkap Di Sungai Kelmin Berjaya Diselamatkan

DUNGUN: Seramai 54 orang peserta pacuan empat roda (4x4) dari Puma Club termasuk 17 kanak-kanak terpaksa melalui detik cemas apabila terperangkap di Sungai Kelmin, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun sejak empat hari lalu ekoran laluan keluar dari tempat itu ditenggelami banjir.

Difahamkan, jambatan yang menghubungkan kawasan perkhemahan mereka runtuh akibat arus deras Sungai Loh menyebabkan kesemua mereka yang datang dari Melaka, Johor dan Perak itu terperangkap.

Namun kesemua mereka berjaya dibawa keluar hari ini dengan bot oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam operasi yang bermula pada 2 petang semalam dan berakhir 4 petang tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba AMBS, Imran Ismail berkata kesemua mangsa yang menaiki 17 kenderaan 4x4 itu berjaya diselamatkan dengan dua bot secara berperingkat oleh 12 anggota yang terlibat.

Katanya kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat bagaimanapun terdapat beberapa peserta mengalami luka kecil.

Menurutnya kumpulan berkenaan mula memasuki kawasan tersebut pada 23 Disember lalu dan dijangka menamatkan pengembaraan mereka tiga hari kemudian iaitu Selasa lepas.

Bagaimanapun hasrat untuk pulang terpaksa dibatalkan apabila jambatan utama yang menghubungkan mereka untuk keluar runtuh akibat arus deras manakala kawasan sekitarnya ditenggelami air.

"Ekoran itu, bekalan makanan untuk tempoh tiga hari pengembaraan itu terpaksa dicatu agar mencukupi sehingga bantuan tiba," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat tentang kesemua mangsa yang terperangap ini pada Selasa lalu, bagaimanapun keadaan jalan serta arus deras menyukarkan operasi menyelamat.

Namun katanya keadaan air yang surut sedikit hari ini membolehkan anggota memulakan misi menyelamat.

"Kesemua mereka telah dipindahkan ke sebuah penginapan berdekatan Balai Bomba AMBS dan pada masa ini kita tidak pasti bila kenderaan mereka dapat dikeluarkan ekoran jambatan sepanjang 500 meter itu telah runtuh," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain