suria

21 Anggota Bomba Ditempatkan Bagi Mengawal Keselamatan Bukit Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meletakkan 21 anggota bersama sebuah jentera di kawasan kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa di sini untuk mengawasi keselamatan penduduki di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Khirudin Drahman berkata mereka akan bertugas mengikut jadual secara bergilir dengan lapan anggota berkawal di puncak bukit manakala 13 lagi di kawasan bawah bukit itu.

"Anggota kami berada dalam siap siaga 24 jam untuk menjalankan tugasan termasuk membantu penduduk di kawasan itu mengambil barangan dari rumah mereka, yang telah diarah untuk dikosongkan.

"Jika ada urusan-urusan di atas (bukit) itu, penduduk akan ditemani anggota kami ke sana untuk tujuan keselamatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, benteng konkrit yang dibina di lereng bukit setinggi 50 hingga 60 meter itu runtuh mengakibatkan beberapa kediaman, termasuk milik orang kenamaan, di kawasan Puncak Setiawangsa terjejas. -BERNAMA