KUALA LUMPUR: Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mencampuri urusan perniagaan dengan membuat kenyataan politik yang boleh menjejaskan syarikat awam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.Beliau berkata Anwar perlu tahu bahawa kenyataan yang telah dibuatnya akan mempengaruhi sentimen pelabur dan mungkin akan menyebabkan saham syarikat tersebut terus menjunam. Anwar baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa harga saham Felda Global Ventures Holdings (FGV) akan menjadi lebih rendah jika tidak kerana campur tangan beberapa institusi, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).Bekas menteri kewangan itu mendakwa harga saham FGV pada RM4.62 adalah kerana campur tangan dalam bentuk pembelian oleh KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dan institusi-institusi lain.Semasa diminta mengulas mengenai isu berkenaan, Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno berpendapat Anwar sebenarnya iri hati dengan penyenaraian saham FGV dan ingin mempolitikkan isu tersebut serta berharap agar harganya terus jatuh."Saya tidak pasti sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia boleh mengenakan tindakan terhadap Anwar kerana mengeluarkan kenyataan yang bertujuan menghasut," kata beliau kepada pemberita selepas melawat Proton City di Tanjung Malim, Perak, Sabtu.Dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Perusahan Perladangan dan Komoditi berkata ia akan terus memantau arah aliran harga sawit dan getah bagi memastikan paras harga kedua-dua komoditi ini tidak menjejaskan pendapatan para pengusaha tanaman terutamanya pekebun kecil."Pada harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,200 setan metrik, pendapatan purata bagi setiap tan buah tandan segar (FFB) yang dihasilkan adalah RM440 setan metrik."Dengan mengambil kira kos pengeluaran setan metrik FFB antara RM200 hingga RM250, pengusaha sawit masih meraih pendapatan kasar antara RM190 hingga RM240 setan metrik FFB," katanya.Menurut kementerian itu, pendapatan bersih pengusaha sawit, selepas ditolak dengan kos-kos lain, adalah antara RM150 dan RM200 setan metrik FFB."Kerajaan akan terus memantau trend harga komoditi sawit dan getah dengan mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan harga pasaran masih berada di paras stabil," katanya. - BERNAMA