suria

Wanita Indonesia Ditemui Mati Di Flat Sri Kuching

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan dua kesan tetakan pada lehernya, di rumah sewanya di Flat Sri Kuching di sini, Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar berkata wanita berusia 36 tahun itu dipercayai mati akibat dibunuh pagi ini.

"Mayat mangsa ditemui berpakaian lengkap dan terlentang di dalam bilik air. Terdapat kesan lebam pada mata serta dua tetakan di belakang lehernya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong daging di bahagian dapur yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu.

Berikutan kejadian itu, katanya, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang tinggal serumah dengan mangsa.

Othman berkata mangsa yang bekerja di sebuah pusat snuker, tidak ke tempat kerjanya pagi tadi menyebabkan majikannya ke rumah mangsa.

"Setelah tiada yang membuka pintu, majikan itu bertindak memecah pintu berkenaan dan menemui mayat wanita itu," katanya.

Beliau berkata mayat wanita dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA

Artikel Lain