KUALA LUMPUR: Kira-kira 500,000 pemohon baru lesen motosikal kelas B2 berpeluang menikmati bayaran yuran serendah RM199 di bawah program Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) bermula pada Isnin.Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata permohonan itu terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 17 hingga 40 tahun yang belum pernah memiliki apa jua jenis lesen memandu dan tidak dikenakan saman trafik sebelum ini. Sebelum ini yuran bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 ialah sebanyak RM350 hingga RM690 kepada institut memandu."Ia merupakan salah satu inisiatif Pemuda Umno untuk meringankan beban golongan muda terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka yang sudah bekerja tetapi kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen tersebut."Berdasarkan semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kira-kira 200,000 ditahan kerana tidak memiliki lesen setiap tahun. Oleh itu, program ini diharap dapat menangani isu ini," katanya pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman dengan MyEg mengenai program BL1M di sini, Isnin.Beliau berkata, kadar bayaran tersebut meliputi kos permohonan lesen, kelas latihan amali, ujian teori undang-undang berkomputer dan ujian praktikal di Institut Memandu yang diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)."Ia merupakan kadar terendah yang dikenakan di seluruh negara. Pendekatan ini membantu golongan muda mendapatkan lesen pada harga berpatutan," katanya.Khairy berkata, mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program ini di www.bl1m.my dan www.myeg.com.my."Mulai hari ini, orang ramai boleh mendaftar nama untuk menikmati insentif BL1M secara dalam talian. Mereka akan dihubungi setelah program ini dilancarkan secara rasmi pada 1 Februari ini," katanya.Beliau memberitahu, pihaknya kini dalam proses mengenalpasti institut memandu yang berminat untuk menyertai program ini."Institut memandu tidak akan rugi jika menawarkan permohonan lesen itu pada harga RM199. Malah, mereka akan mendapat lebih keuntungan dengan mengambil kira bilangan yang memohon," katanya.Sementara itu, Pengarah Eksekutif MyEG, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, kira-kira 114,000 pusat institut memandu di seluruh negara menyokong program tersebut."Program ini bukan saja membantu anak muda mendapatkan lesen tetapi mendidik mereka menjadi pemandu berhemah," katanya.