suria

AS Akan Tambah Jumlah Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris Ke Malaysia Setiap Tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan Amerika Syarikat akan menambah bilangan Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA), setiap tahun bagi mempromosikan hubungan tenaga kerja antara Malaysia dan Amerika Syarikat, kata Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones.

Beliau berkata hubungan tenaga kerja merupakan asas yang sangat baik dalam memastikan hubungan kedua-dua negara terjalin lebih kukuh.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama telah bersetuju untuk membangunkan generasi muda bersama.

"Di samping mengajar Bahasa Inggeris, ETA terdiri daripada graduan Amerika yang baru menamatkan pengajian berusia antara 22 hingga 25 tahun - akan memakai pakaian rakyat Malaysia dan makan makanan tempatan.

"Dengan kemudahan sosial media pada hari ini mereka juga boleh berinteraksi dengan rakan mereka di Malaysia selepas mereka mendapat penempatan," kata Jones pada sidang media selepas majlis makan malam menyambut 75 ETA dari Amerika Fullbright di kediamannya pada malam Jumaat.