RANTAU PANJANG: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas pelbagai jenis bunga api dan mercun seludup bernilai RM400,000 dalam sebuah lori kontena di Kampung Bunut Payung, Kota Baharu, pada Ahad.Komander UPP Negeri Rosli Karim berkata, kejayaan itu hasil gerakan pasukan UPP di kawasan premis perniagaan di kampung itu kira-kira 5 petang selepas menerima maklumat daripada orang awam. Beliau berkata, dipercayai mercun dan bunga api itu diseludup dari negara jiran dan untuk diedar di Lembah Klang sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.Tiga lelaki dipercayai pemandu dan anggota sindiket penyeludup itu sempat melarikan diri sebaik menyedari anggota UPP menghampiri lori kontena itu, katanya kepada pemberita di sini, Isnin."Setelah pemeriksaan lanjut dibuat, kita dapati lori tersebut membawa 400 bungkusan kotak mengandungi pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM400,000 yang diimport dari negara China," katanya.Katanya, lori kontena yang membawa bahan larangan itu dipercayai milik syarikat pengangkutan di Klang dan akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan pemilik dan nombor pendaftaran kenderaan itu.Rosli berkata, mercun dan bunga api itu pula dirujuk kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan. - BERNAMA