suria

Bahagian Dalam Istana Negara Lama Akan Dibuka Kepada Pelawat Mulai 1 Februari Ini

Istana Negara lama yang pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong akan dibuka untuk kunjungan orang ramai Februari ini. -foto THE STAR/Izra Rahman
Istana Negara lama yang pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong akan dibuka untuk kunjungan orang ramai Februari ini. -foto THE STAR/Izra Rahman
Istana Negara lama yang pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong akan dibuka untuk kunjungan orang ramai Februari ini. -foto THE STAR/Izra Rahman

KUALA LUMPUR: Istana Negara lama yang pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan pernah melaksanakan fungsi Sistem Raja Berperlembagaan di negara ini akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Februari.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Ibrahim Ismail berkata, istana yang dijadikan Muzium Diraja ini akan dibuka setiap hari sebagai lokasi pelancongan dan dikendalikan oleh Jabatan Muzium.

"Kerajaan telah menetapkan istana ini sebagai destinasi kunjungan orang ramai yang mana ia akan dibuka mulai 1 Februari ini," katanya kepada pemberita ketika Lawatan Bersama Media ke Muzium Diraja, di Istana Negara lama, dekat sini, Selasa.

Beliau berkata pembukaan istana ini memberi fokus untuk memberi gambaran kepada orang ramai berhubung maklumat dan kegunaan sesuatu ruang atau bilik di istana untuk acara-acara tertentu.

Ibrahim berkata pihaknya akan berusaha menempatkan petugas khas yang terdiri daripada mereka yang pernah bertugas di sini untuk berkongsi pengetahuan dengan pengunjung.

"Banyak cerita dan perkara menarik di sini. Inilah peluang untuk orang ramai masuk dan melihat fungsi dan kegunaan bilik-bilik.

"Kita akan sediakan petugas khas atau pegawai pemandu untuk bercerita sebagai nilai tambah kepada pelawat," katanya.

Bagaimanapun katanya, sama ada pengunjung akan dikenakan bayaran masuk atau tidak, perkara itu masih belum diputuskan.

Menurut beliau, sejak istana ini menamatkan fungsinya pada 15 November 2011, hanya bahagian luar sahaja dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Tambahnya, pandangan daripada pengunjung 'Pameran Raja Kita' mengenai institusi raja-raja Melayu yang diadakan mulai 15 April 2012 menjadi salah satu faktor bahagian dalam istana ini dibuka.

"Pameran Diraja masih berlangsung dan kita dapat begitu ramai pelawat yang menyatakan saranan dan idea serta menyatakan keinginan untuk masuk ke dalam bagi melihat apa yang ada," katanya.

Selain melawat bahagian dalam istana, Jabatan Muzium juga merancang mengadakan program dan aktiviti di luar istana untuk menyemarakkan lokasi ini.

Antara yang dirancang termasuklah persembahan kebudayan seperti silat dan sebagainya.

Katanya, menjadikan istana sebagai tempat kunjungan orang awam turut dilakukan di negara lain seperti di United Kingdom dan Bangkok.

Artikel Berikut

Artikel Lain