KUCHING: Tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan betapa tersentuhnya perasaan Datin Brawang Chunggat, balu wira negara Datuk Temenggong Kanang Langkau, apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi meluangkan masa untuk menziarahi keluarganya di sini.Muhyiddin, yang mempunyai jadual ketat dalam rangka lawatan tiga harinya ke Sarawak, meluangkan kira-kira 20 minit di rumah Brawang di Kampung Sungai Apong Baru, Pending di sini. "Saya sungguh gembira dan amat bersyukur kerana beliau (Muhyiddin) sudi datang menziarahi keluarga saya untuk menawarkan bantuan serta memberi kata-kata semangat," katanya kepada pemberita selepas kunjungan Muhyiddin itu.Kanang - wira kebanggaan negara yang merupakan satu-satunya penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), anugerah tertinggi dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan, dan pingat Panglima Gagah Berani (PG) - kerana keberaniannya, terutama dalam menentang komunis - meninggal dunia pada 3 Jan tahun ini dipercayai akibat sakit jantung.Beliau berusia 68 tahun.Brawang berkata Muhyiddin mendengar dengan teliti permohonannya untuk mendapatkan bantuan kerajaan, termasuk sebuah rumah dan elaun bulanan bagi menyara keluarganya dan timbalan perdana menteri berjanji perkara itu akan diteliti pihak berkuasa berkenaan.Kata Brawang, suaminya, yang bersara sebagai Pegawai Waran 1, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja, menerima pencen dan elaun bagi dua pingat keberanian yang diterimanya.Sambil menyatakan beliau masih belum bersedia sepenuhnya dari segi mental dan kewangan untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa kehadiran suaminya, Brawang berkata beliau berharap kerajaan akan bersimpati dengan nasib yang menimpanya.Semasa kunjungan itu, Muhyiddin juga berbual-bual dengan anak Brawang, termasuk anak bungsu lelakinya Harrison Ketit, 16, pelajar Sekolah Vokasional Batu Lintang di sini, yang kelihatan gembira apabila menerima pemberian sebuah komputer riba daripada Muhyiddin untuk membantunya mengikuti pelajaran.Brawang kemudian menghadiahkan Muhyiddin sebilah parang tradisional kaum Iban "parang ilang," sebagai tanda terima kasih keluarganya kepada timbalan perdana menteri kerana sudi menziarahi mereka.Antara orang kenamaan yang mengiringi Muhyiddin dalam kunjungan itu ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Tan Sri Dr James Masing dan Pengerusi Biro Penerangan Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Maslan.Turut hadir Panglima 1 Divisyen Mej Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Panglima Briged Ketiga Infantri Brig Jen Datuk Redzuan Baharuddin dan Panglima Briged Kesembilan Infantri Brig Jen Datuk Stephen Mundaw. - BERNAMA