suria

Belia Perlu Cari Haluan Hidup Yang Mampu Beri Nilai Tambah Kepada Komuniti, Pembangunan - PM

Najib meluangkan masa bersama peserta "Youth Action Forum 2013" di Pusat Dagangan Dunia Putra, Isnin. Turut kelihatan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (dua kanan). -fotoBERNAMA
Najib meluangkan masa bersama peserta
Najib meluangkan masa bersama peserta "Youth Action Forum 2013" di Pusat Dagangan Dunia Putra, Isnin. Turut kelihatan Ketua Pengarang Kumpulan akhbar The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (dua kanan). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru belia agar mencari haluan hidup yang mampu memberi nilai tambah kepada komuniti dan pembangunan negara.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki sekumpulan besar orang muda yang mampu menyumbang idea segar dan positif dalam membangunkan negara.

"Pada sesi mentoring ini, yang saya diberi penghormatan untuk menyertainya, adalah memberangsangkan melihat semua belia begitu bersemangat serta ghairah dengan idea dan projek masing-masing ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Seringkali kita hilang keghairahan hidup dan impian apabila terjebak dengan kehidupan yang penuh dengan persaingan, saya harap anda semua tidak akan membiarkan perkara itu berlaku kepada diri anda," katanya ketika berucap pada Forum Tindakan Belia, Isnin.

Najib berkata adalah penting bagi belia untuk memahami bahawa sekalipun mereka sudah mula bekerja sebagai orang muda, itu tidak bermakna mereka harus berhenti mengejar impian masing-masing.

Malah, beliau berkata dengan pengalaman kerja, generasi belia yang lebih dewasa ini akan mampu mengetengahkan idea baharu dan mengambil perspektif berbeza bagi menyelesaikan isu serta masalah.

"Saya harap menerusi lebih banyak program dan acara seperti ini, lebih ramai belia akan mendapat inspirasi dan lebih aktif menyertai usaha kerajaan membangunkan negara," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menggesa sektor swasta agar menyokong golongan belia kerana mereka bakal mewarisi dan menguruskan Malaysia.

"Umpama sumber yang kaya iaitu hutan hujan, belia hari ini merupakan satu aset. Dalam usaha untuk meneroka sumber ini sepenuhnya, golongan belia perlu diberi kepentingan yang bermakna dalam masyarakat.

"Percayalah kepada mereka kerana kita sudahpun menyediakan infrastruktur untuk mereka menjadi warga dunia yang cekap dan bakal membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi," katanya.

Najib juga berkata beliau bangga untuk memaklumkan bahawa beberapa organisasi termasuk 1MDB, Talentcorp dan KPGM telah menyatakan minat dalam menyediakan peluang pembiayaan kepada beberapa kumpulan belia.

Forum Tindakan Belia merupakan acara sehari untuk penuntut universiti mempamer hasil kerja rakan mereka dalam menyumbang kepada sosioekonomi negara.

Forum anjuran MyHarapan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) itu mengumpul belia dari seluruh negara bagi menangani isu seperti pencegahan jenayah, pengangguran, pengangkutan awam serta obesiti.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Ketua Pegawai Eksekutif IM4U Datuk Jake Abdullah. - BERNAMA

Artikel Lain