suria

AES Tetap Beroperasi Pada Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Kesemua 14 unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan terus beroperasi seperti biasa, terutamanya menjelang sambutan Tahun Baru Cina, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, kamera tersebut akan membantu program penguatkuasaan trafik oleh beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

"Sejak program AES dilancarkan, terdapat perubahan dalam sikap pemandu yang melalui zon pemasangan AES, terutamanya di lokasi maut.

"Ini membuktikan bahawa AES berkesan dalam menyelamatkan nyawa pemandu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kong berkata, kira-kira 1,500 pegawai JPJ akan ditempatkan di beberapa lokasi manakala kempen keselamatan jalan raya akan diadakan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

"Pegawai JPJ juga akan melakukan intipan dan berlakon sebagai penumpang bas untuk memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya.

"Mereka juga akan melakukan pemeriksaan di depoh bas dan terminal serta kawasan kerap kemalangan sepanjang musim perayaan itu nanti," katanya.

Artikel Lain