KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melancarkan Pelan Integriti yang bertujuan mencegah serta membanteras segala bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan warga pasukan itu.Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin yang melancarkan pelan tersebut di Kementerian Pertahanan di sini berkata ia merupakan agenda ATM dalam membudayakan integriti ke arah memartabatkan profesionalisme, komitmen, kecemerlangan dan imej institusi ketenteraan yang berprestij di mata rakyat. "Berlandaskan semangat Pelan Integriti Nasional (PIN), pelan tindakan ini dirancang secara komprehensif dan pragmatik serta mampu memperkasakan agenda pengurusan dan pentadbiran ATM di tahap terbaik dan cemerlang," katanya dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu.Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.Antara lain, pelan itu menggariskan lima lagi strategi iaitu memantapkan keutuhan organisasi serta tadbir urus terbaik, meningkatkan kesiagaan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan disiplin serta sistem pemerintahan rejimental."Strategi lain itu yang digariskan adalah mengukuhkan aspek-aspek kerohanian dan penghayatan nilai-nilai murni dan menambahkan kualiti hidup dan institusi kekeluargaan," katanya. BERNAMA