suria

1.3 Juta Kenderaan Dijangka Tinggalkan Ibu Kota Sempena Tahun Baru Cina

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.3 juta kenderaan dijangka bergerak meninggalkan ibu kota bermula esok, sempena cuti umum sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu ini.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Salleh Yusup berkata pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan terutama esok, di pinggir ibu kota menghala pintu keluar ke utara, selatan dan pantai timur.

Sehubungan itu, warga kota harus merancang perjalanan serta mengamalkan pemanduan berhemah, katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, Khamis.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Nadzri Osman berkata pihaknya meletakkan anggota secara statik di empat lokasi panas kemalangan di Kuala Lumpur iaitu di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (di hadapan Zoo Negara), Batu 4 1/2 Jalan Ipoh serta di Km 25 Lebuhraya Karak di kedua-dua hala.

"Seramai 88 anggota JPJ akan bertugas di kawasan-kawasan 'hot spot' tersebut secara bergilir-gilir selama dua minggu sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini," katanya.

Terdahulu, Salleh menyerahkan cenderahati berupa alatan membaiki kenderaan kepada 18 penunggang motosikal dan 10 pemandu kenderaan. -BERNAMA

Artikel Lain