suria

Wakil Rakyat Tidak Terpilih Usah Pendam Perasaan - Mubarak

MELAKA: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) menggesa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) agar tidak memendam perasaan terlalu lama sebaliknya segera membantu calon yang terpilih.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata ia penting bagi mengelak percanggahan dan perpecahan dalam parti sekali gus membantu BN memenangi PRU-13 dengan majoriti besar.

"Yang masih wakil rakyat tapi tak dicalonkan marah pasti marah, tetapi kita minta dia marah sekejap saja...jangan marah dan kecewa lama-lama.

"Sebaliknya tolong bantu mereka yang tercalon seperti mana dia (wakil rakyat) dibantu sebelum ini selepas mengambil alih tempat orang lain sehingga mereka berjaya," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Mubarak Melaka ke-12 dan sambutan Tahun Baharu Cina di sini, Isnin.

Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata Mubarak telah mula menjalankan pemantauan bagi melihat disiplin anggota BN di kawasan masing-masing yang mampu menggugat kestabilan parti.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan tindakan berkesan dapat diambil segera terhadap mereka yang cuba mensabotaj parti.

Pada majlis itu, Kelab Mutiara Mubarak Melaka turut dilancarkan bertujuan mewujudkan satu kumpulan pelapis dalam kalangan anak bekas wakil rakyat bagi meneruskan kesinambungan pertubuhan badan bukan kerajaan itu melalui bidang politik dan pendidikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain