suria

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Senator Australia, Nick Xenophon merupakan seorang ahli politik yang berat sebelah apabila sering dilihat cenderung membabitkan diri dengan pemimpin pembangkang tertentu, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Tengku Adnan, berdasarkan pengalaman peribadinya ketika mengadakan perbincangan dengan Xenophon berhubung sistem pilihan raya Malaysia, ahli politik bebas itu sering mengeluarkan pandangan berat sebelah terhadap kerajaan.

"Saya sendiri ada pengalaman dengan beliau pada masa lalu...dan saya boleh beritahu anda bahawa beliau sebenarnya tidak bebas.

"Bagaimanapun saya tidak tahu sebab pengusirannya, ia pertimbangan pihak imigresen," katanya pada sidang media di di Menara Dato' Onn di sini, Isnin.

Sebelum ini dilaporkan Xenophon pernah memasuki Malaysia pada April tahun lalu sebagai pemerhati antarabangsa atas jemputan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai sistem pilihan raya di negara ini.

Malah Xenophonm pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 berlangsung dalam keadaan aman sehingga polis melakukan provokasi selain berpendapat terdapat laporan berat sebelah mengenai perhimpunan itu oleh media arus perdana.

Pada Sabtu lalu Xenophon ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dan dihalang daripada memasuki negara ini setelah didapati mempunyai rekod memudaratkan kesejahteraan negara.

Xenophon yang namanya terkandung dalam senarai hitam Jabatan Imigresen tiba dari Melbourne, Australia pada pukul 6.50 pagi ditahan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel Lain