KUALA TERENGGANU: Kebakaran sebuah van di laluan utama pusat bandar raya ini sejurus selepas selesai perasmian Program Jelajah Janji Ditepati oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Shahbandar di sini mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang agak teruk.Pemandu dan penumpang mengalami detik cemas bila van tersebut tiba-tiba terbakar pada kira-kira jam 12.55 tengah hari Sabtu. Penolong Kanan Penguatkuasa Bomba Kuala Terengganu Mohd Rozairi Abdul Rahim ketika dihubungi berkata kurang 15 minit selepas menerima laporan kecemasan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bandar tiba dan memadamkan kebakaran dalam masa lima minit."Difahamkan kepulan asap bermula dari bawah tempat duduk van hingga menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan secara mengejut sebelum menyelamatkan diri kerana bimbang van akan terbakar dan meletup. Sementara itu penumpang kenderaan yang merupakan pengurus sebuah golf di sini Anthony Martin, 60, berkata semasa kejadian, beliau terdengar bunyi seperti tayar meletup dari van milik resort berkenaan."Saya suruh pemandu berhenti dan lihat ke tayar sebelum mendapati kepulan asap keluar dari bawah tempat duduk (enjin). "Kami cepat-cepat tolak ke tepi dan kemudian api mulai marak," katanya. Mujur pengawal keselamatan Agro Bank bertindak menelefon balai bomba, kata beliau.Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. -BERNAMA