ALOR SETAR: Sebuah mesin teller automatik (ATM) Maybank di Jalan Kota di sini dipecah dan dirompak dalam kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi Isnin.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya berkata kejadian itu disedari oleh orang awam yang berada di situ pada pukul 8.57 pagi. "Orang awam tersebut telah memaklumkan kepada anggota kita yang kebetulan sedang membuat rondaan di kawasan itu dan pihak kita terus menghantar pegawai ke tempat kejadian."Siasatan awal mendapati seorang pekerja bank tersebut telah datang ke pejabat pada pukul 7.50 pagi dan dia ternampak mesin ATM itu telah diceroboh dan dipecah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Isnin.Beliau berkata maklumat daripada pihak bank mendapati kira-kira RM297,000 wang tunai dalam mesin tersebut telah dilarikan."Berdasarkan penjelasan pihak syarikat alat penggera bank, mereka mendapati alat penggera keselamatan yang berada di bank tersebut telah berbunyi pada pukul 4.32 pagi," katanya.Nashir berkata kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di bank tersebut telah dialihkan fokusnya ke arah dinding."Kita sedang siasat kes ini dan kita akan cuba lihat melalui CCTV yang ada di Bulatan Hijrah di hadapan bank tersebut," katanya. Beliau berkata pihaknya percaya kes itu dilakukan oleh lebih daripada seorang penjenayah."Kita akan buat pemeriksaan di hotel-hotel bajet bagi mengesan penjenayah tersebut. Kita juga akan lihat kembali kes tahun lepas yang berlaku di Simpang Kuala untuk membuat perbandingan kes sama ada ia dilakukan oleh suspek yang sama atau sebaliknya," katanya.Katanya, bank tersebut tidak mempunyai pengawal keselamatan dan pintu kaca di ATM tersebut dibuka 24 jam. - BERNAMA