suria

Wanita Umno Akan Bantu Balu Anggota Komando Polis Yang Terkorban - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Wanita Umno akan menyalurkan bantuan kepada balu dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian tembak-menembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bantuan juga akan disalur kepada tiga anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan sedang dirawat di Hospital Lahad Datu.

"Wanita Umno akan bekerjasama dengan Persatuan Keluarga Polis dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera dalam menghulurkan bantuan kepada Nor Aziah Nor, balu kepada Allahyarham Inspektor Zulkifli (Mamat) dan isteri kepada Allahyarham Koperal Sabaruddin (Daud), Nurul Nisah," katanya di sini, Sabtu.

Shahrizat yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Malaysia ditemui pemberita selepas menghadiri Program Gagasan Aspirasi Wanita Muda anjuran Majlis Pembangunan Wanita Kebangsaan dengan kerjasama Yayasan Jiwa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut hadir, berkata kenyataan pemimpin pembangkang bahawa insiden di Lahad Datu sandiwara kerajaan adalah kurang ajar. "Insiden ini adalah satu tragedi dan pembangkang tidak seharusnya mengambil peluang untuk mencetuskan kebencian dan menguris perasaan kesemua anggota pasukan keselamatan negara yang telah mengorbankan diri mereka dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara...kenyataan pembangkang adalah sangat biadab," katanya.

Mengulas program hari ini, Rosnah berkata sesi mengutip cadangan dan maklum balas serta harapan badan bukan kerajaan serta wanita itu mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 700 orang, kebanyakannya wanita muda.

Menurut Rosnah program itu akan diperluas ke seluruh negara pada masa akan datang.

Saranan dan maklum balas yang dikumpul menerusi program itu akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. -BERNAMA

Artikel Lain