suria

213 Pelajar UMS Sandakan Dipindahkan ke Kampus Utama Pada Selasa

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memindahkan 213 pelajarnya di kampus Sandakan ke kampus utama di sini bermula hari ini, kata Naib Canselor UMS Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Katanya pemindahan mereka yang meliputi 54 pelajar lelaki dan 159 wanita itu disebabkan masalah bekalan makanan.

"Penempatan pelajar dari kampus Sandakan bukan disebabkan masalah keselamatan seperti yang diuar-uarkan tapi adalah disebabkan masalah bekalan makanan.

"Ini berikutan kafeteria di kampus tersebut ditutup dan menimbulkan ketidakselesaaan kepada para pelajar," katanya pada sidang media di kampus UMS, Likas, dekat sini, Selasa.

Menurut beliau semua pelajar terbabit berada dalam keadaan baik dan keselamatan mereka juga terjamin.

"Pihak kita juga sentiasa berhubung dengan pihak keselamatan untuk mendapatkan maklumat terkini," katanya,

Mohd Harun berkata pelajar yang mengikuti pengajian di Sekolah Pertanian Lestari kampus Sandakan yang dipindahkan akan disediakan tempat tinggal dan menjalani kuliah seperti biasa.

"Perpindahan ini hanya melibatkan kampus Sandakan sahaja manakala kampus Labuan adalah berjalan seperti biasa," katanya sambil menambah pelajar dari kampus Sandakan itu akan berada di kampus Kota Kinabalu sehingga masalah bekalan makanan di sana dapat diatasi.

Beliau juga meminta ibu bapa pelajar agar tidak bimbang kerana tiga kampus UMS terletak jauh daripada zon operasi keselamatan.

Mohd Harun turut menasihati para pelajar agar tidak terpengaruh dengan khabar angin yang boleh mencetuskan suasana panik sehingga mengganggu pembelajaran.

Kampus utama UMS juga telah membuka bilik operasi 24 jam dan segala pertanyaan boleh berhubung terus ke hotline 088-320854 atau 088-320855, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain