MUAR: Tiga termasuk pasangan pengantin baru maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah dalam kemalangan membabitkan kereta, lori dan bas persiaran di Km162.5, Lebuh Raya Utara Selatan di sini malam Jumaat.Pasangan pengantin itu, Kumar Arunasalam, 34, dari Kampung Serani, Melaka dan isterinya Rita Maria Gilrelt, 42, warganegara Singapura dan Carrieanne Fransisca Dicosta, 22, dari Kampung Portugis, Melaka, meninggal dunia di tempat kejadian. Pang Yun, 59, dari Tangkak Jaya yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tangkak manakala Brian Jeremieh Sta Maria, 21, dari Kampung Portugis, Melaka hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris.Katanya, kemalangan tersebut berlaku pada kira-kira pukul 10.45 malam Jumaat semasa kelima-lima mereka yang menaiki kereta Proton Waja yang dipandu Pang dalam perjalanan dari Singapura ke kampung pasangan pengantin itu di Melaka.Katanya, pasangan suami isteri itu baru dua minggu mendirikan rumah tangga.Beliau berkata, 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tangkak dan Muar mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk itu.Pemandu bas persiaran dan lori satu tan yang terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - BERNAMA