suria

Tiada Cadangan Tutup Kedutaan Malaysia di Korea Selatan - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Wisma Putra tidak bercadang menutup Kedutaan Malaysia di Korea Selatan ekoran ketegangan yang semakin memuncak antara negara itu dan Korea Utara.

Jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi mengesahkan tiada sebarang langkah untuk menutup Kedutaan Malaysia di Seoul kerana tiada sebab yang kukuh untuk berbuat demikian.

"Buat masa ini kita tidak akan menutup kedutaan kita di sana (Korea Selatan) walaupun ketegangan antara dua negara ini semakin memuncak. Tiada sebab yang kukuh untuk kita menutup kedutaan kita di sana," katanya.

Ditanya berhubung jaminan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Selatan ekoran amaran yang dikeluarkan oleh Korea Utara yang meminta pelancong mahupun warga asing yang berada di Korea Selatan agar meninggalkan negara itu, jurucakap itu berkata, buat masa ini tiada sebarang arahan untuk memanggil pulang kesemua rakyat Malaysia di sana.

Sebelum ini agensi berita luar negara Reuters dipetik sebagai berkata Korea Utara mengeluarkan amaran kepada rakyat asing yang berada di Seoul agar segera meninggalkan negara itu ekoran konflik yang tercetus antara kedua-dua buah negara itu.

Pada 12 Februari lalu, Pyongyang telah melancarkan ujian peluru berpandu yang mendapat kecaman daripada Amerika Syarikat dan Seoul.

Ekoran ancaman itu, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan telah meningkatkan pertahanan peluru berpandu di selatan (Korea Selatan) dan mengambil beberapa tindakan lain bagi menghadapi kemungkinan itu. -BERNAMA

Artikel Lain