KEMAMAN: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek optimis dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti undi yang lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan 52 peratus pengundi muda di kawasannya. "Dari segi majoriti pengundi adalah bertambah, pada 2004 pengundi lebih 50,000, kemudian meningkat kepada 70,000 pada 2008 dan kali ini jumlah pengundi menjadi lebih 90,000," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.Ahmad Shabery, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata beliau tidak banyak menghadapi masalah pada pilihan raya kali ini kerana melakukan kempen mendekati pengundi muda secara berterusan sejak lima tahun lepas.Pada PRU13 ini, Ahmad Shabery akan menentang calon baharu PKR, Kamarudin Chik.Pada PRU 2004, Ahmad Shabery mengalahkan calon PKR Abd Rahman Yusof dengan majoriti 15,882 undi manakala pada PRU lepas, 2008, beliau mengalahkan Mohd Fariz Abd Talib, juga dari PKR dengan majoriti 12,683 undi.-BERNAMA