MUAR: Polis Muar menahan dua remaja lelaki yang dipercayai terlibat melakukan perbuatan berunsur provokasi dengan memecahkan cermin sebuah van milik parti DAP yang diletakkan dihadapan Bilik Gerakan DAP di Jalan Sakeh, Bakri di sini, Selasa.Ketua Polis Daerah Muar, Senior Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan kira-kira 45 minit selepas melakukan perbuatan tersebut yang disaksikan sendiri tujuh petugas Barisan Nasional (BN) yang sedang memasang bendera, pada jarak 100 meter dari tempat kejadian. Menurutnya, dua suspek itu diberkas selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki berusia 51 tahun yang juga merupakan Pengerusi Poster, Kain Rentang dan Manifesto BN Parlimen Bakri.“Pengadu memberitahu pada jam 4 pagi, dia nampak dua remaja menaiki motosikal menghampiri van sebelum bertindak memecahkan cermin van itu dan kemudiannya meninggalkan tempat kejadian apabila perbuatannya disedari petugas terbabit.“Susulan itu, beberapa unit kereta peronda dan motosikal membuat rondaan disekitar kawasan kejadian, lalu terserempak dengan suspek yang sedang menunggang motosikal,”katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, Selasa.Beliau berkata, hasil pemeriksaan telah mengenalpasti motosikal yang dinaiki mereka sama dengan motosikal suspek.Mohamad Nasir berkata, suspek berusia 18 tahun itu berasal dari Jalan Sakeh, Bakri dan bekerja sebagai penjual daging, manakala tukang cat berusia 19 tahun pula tinggal di Jalan Bakri Batu 2 1/2 , Bakri ditahan sementara untuk membantu siasatan.“Soal siasat ke atas mereka mengaku melakukan perbuatan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti dalang kejadian.“Melalui ujian air kencing ke atas suspek didapati bebas dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,”katanya.Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 kanun keseksaan dan Seksyen 379 kanun yang sama.Dalam pada itu, Mohamad Nasir meminta orang ramai yang melihat dan mengetahui berlaku perbuatan jenayah terhadap mana-mana poster, kain rentang serta bendera supaya segera menghubungi balai polis berhampiran.“Jangan sewenang-wenangnya membuat tuduhan terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut.“Kita harap semua pihak yang terlibat dengan aktiviti politik sepanjang tempoh berkempen supaya memberikan contoh dan tauladan yang baik serta tidak cuba mencetuskan provokasi agar Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung dalam suasana aman,”katanya.Tambah beliau, sehingga hari ini (Selasa) pihaknya menerima sebanyak 21 laporan berkaitan perbuatan khianat dan mendatangkan fitnah sejak pembubaran parlimen 3 April lalu.