suria

Undi Pos Dari Melbourne Dalam Perjalanan Ke Ibu Pejabat SPR

MELBOURNE: Dua beg diplomatik berisi undi pos rakyat Malaysia yang mengundi di sini pada Ahad, kini dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya.

Ia dihantar dari Konsulat Malaysia tengah pada Isnin selepas disita di bawah penyeliaan Konsul Jeneral Dr Mohd Rameez Yahaya.

Rameez enggan menyatakan jumlah rakyat Malaysia yang mengundi, tetapi adalah dipercayai lebih 80 peratus daripada lebih 1,000 pengundi pos telah menunaikan hak mengundi mereka di konsulat itu di St Kilda Road di sini.

Rameez berkata proses pengundian berjalan lancar.

Bagaimanapun, terdapat beberapa rakyat Malaysia yang tidak mendaftar sebagai pengundi di luar negara seperti yang disyaratkan undang-undang, cuba merempuh pusat mengundi dan mendesak agar mereka dibenar mengundi.

"Kami jelaskan kepada mereka tentang proses yang diperlukan dan kenapa mereka tidak boleh mengundi di sini, tapi mereka tidak puas hati dan meninggikan suara.

"Laman web kami menyatakan dengan jelas perkara yang perlu dilakukan rakyat Malaysia untuk membolehkan mereka mengundi. Bagaimanapun, kami gembira kerana kebanyakan pemilih mematuhi peraturan," katanya.

Mengenai pemilih yang terpaksa berbaris selama dua hingga tiga jam sebelum dapat mengundi, Rameez berkata perkara itu di luar kawalannya kerana hanya terdapat enam petugas konsulat untuk memeriksa dokumen dan kertas undi.

Lapan pemerhati bebas yang memantau proses pengundian kagum dengan cara petugas konsulat menjalankan tugas mereka, walaupun dalam keadaan yang amat tertekan.

"Kami tidak boleh salahkan Dr Rameez dan petugasnya. Mereka bertugas dengan cemerlang. (Bagaimanapun) terdapat beberapa orang yang menimbulkan masalah dan mereka ini tidak mendaftar sebagai pengundi pos.

"Malah, seorang rakyat Malaysia datang dan meminta agar dia dibenar mengundi (sebagai pengundi pos) dengan menunjukkan lesen memandunya yang dikeluarkan di Singapura," kata seorang pemerhati yang tidak mahu namanya disiarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain