suria

18 Pemerhati Antarabangsa, 1200 Pemerhati Tempatan Pantau Proses PRU-13

KUALA LUMPUR: Seramai 18 pemerhati antarabangsa yang dijemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyaksikan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13), berpeluang meninjau persiapan pusat pengundian di sekitar ibu negara, pada Sabtu.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata 18 pemerhati itu terdiri daripada masing-masing enam wakil dari Indonesia dan Thailand, masing-masing dua dari Myanmar dan Kemboja serta dua wakil Sekretariat Asean yang juga merupakan petugas SPR di negara mereka.

"Pemerhati asing ini juga akan memantau proses pengundian beberapa kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Gombak, Titiwangsa dan Setiawangsa, termasuk proses pengiraan undi, di Putrajaya esok," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat SPR mengenai PRU13 kepada pemerhati antarabangsa di sini hari ini.

Selain memantau proses pengundian, SPR juga berharap agar peluang ini digunakan pemerhati asing dan petugas tempatan untuk bertukar pandangan demi menambah baik perjalanan PRU akan datang, katanya.

Menurut Wan Ahmad, sebelum ini, negara terbabit pernah menjemput pegawai SPR Malaysia sebagai pemerhati pada pilihan raya umum di negara masing-masing.

"Daripada maklum balas, pemerhati asing ini begitu kagum bagaimana PRU di negara ini mampu dilaksana dalam masa sehari dan keputusan boleh diketahui seawal 7.30 malam," katanya.

Mengulas mengenai pemerhati asing tidak dibawa ke kawasan kerusi panas semasa proses PRU berlangsung, beliau berkata ia tidak dilakukan atas faktor keselamatan.

Pada PRU kali ini, SPR turut melantik seramai 1,200 pemerhati tempatan terdiri daripada 17 Pertubuhan Bukan Kerajaan untuk memastikan proses perjalanan pilihan raya di negara ini, berintegriti.-BERNAMA

Artikel Lain