JEMPOL: Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 pada Ahad, anggota jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum 2008 sehingga mewujudkan pergaduhan dan tindakan sabotaj sesama sendiri.Bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-tugas Khas Tun Daim Zainuddin berkata kekalahan BN di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke-12 akibat wujudnya perasaan tidak puas hati di kalangan anggota BN terhadap calon. "Saya yakin BN akan terus memerintah negara ini tetapi dengan syarat Umno, MCA, MIC dan parti-parti komponen BN yang lain bekerjasama dan bertolak ansur sesama sendiri," katanya ketika memberi ceramah di bilik gerakan BN Felda Raja Alias 4 di sini malam Jumaat.Daim berkata ramalannya bahawa BN bakal kalah di beberapa negeri pada tahun 2008 pada mulanya tidak dipercayai banyak pihak pada masa itu tetapi akhirnya terbukti benar kerana pandangannya dibuat berdasarkan fakta.Mengenai pakatan pembangkang, Daim berkata sudah terbukti mereka gagal membangunkan negeri yang dimenangi pada PRU ke-12 akibat kelemahan dari segi kerjasama antara tiga parti yang berbeza fahaman politik."Tiga parti pembangkang ini hanya bekerjasama untuk menang dalam pilihan raya, tetapi setelah mereka menang pada PRU ke-12, mereka tidak melakukan sebarang usaha dan tindakan untuk memakmurkan ekonomi dalam mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka," katanya.Sehubungan itu, Daim berkata para pengundi tidak harus terpedaya dengan pelbagai janji yang ditawarkan pakatan pembangkang pada sepanjang kempen pilihan raya ini kerana sudah terbukti mereka tidak melaksanakannya setelah memenangi pilihan raya yang lepas. - BERNAMA