suria

15 Laporan Polis Dibuat di Kedah Sepanjang Tempoh PRU-13

ALOR SETAR: Sebanyak 15 laporan polis dibuat berhubung pelbagai kesalahan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di negeri ini Ahad lepas, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim.

Ahmad berkata laporan polis yang dibuat membabitkan kesalahan kecil seperti bendera parti ditanggalkan dan khemah panas dipasang berdekatan tempat mengundi.

Beliau berkata ada juga laporan berkaitan pengundi 'hantu' dibuat ahli dan penyokong sebuah parti dan hasil siasatan dibuat terhadap dua bas dinaiki warga asing itu gagal membuktikan mereka pengundi 'hantu'. "Kita buat pemeriksaan dan hasilnya mereka bukan pengundi hantu. Mereka ini dari Sik dalam perjalanan pulang dari Sungai Petani selepas membeli-belah. Majikan mereka hantar mereka membeli belah sebab masa itu tengah cuti.

"Ada juga empat laporan Polis dibuat oleh parti politik mengenai dakwat kekal dan ini semua kita serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini Selasa.

Ahmad berkata 85.4 peratus pengundi di negeri ini keluar mengundi dan ini menunjukkan kecekapan anggotanya memberi komitmen tinggi sehingga dapat memastikan keadaan di negeri ini semasa pilihan raya, terkawal. -BERNAMA

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan