Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan membaca ikrar taat pada setia sebagai Menteri Besar selepas menerima watikah perlantikan tersebut daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena majlis Istiadat Penyerahan Watikah Perlantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti dekat Kuala Pilah, Sabtu. Foto BERNAMAKUALA PILAH: Pengerusi Barisan Nasional Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Sabtu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan untuk penggal ketiga, di Istana Besar Seri Menanti, di sini.Mohamad yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas mengangkat sumpah menjawat jawatan itu di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud turut berangkat ke majlis itu.Pada majlis berkenaan, Mohamad menerima watikah pelantikan daripada Tuanku Muhriz dan menandatangani sumpah jawatan yang turut disaksikan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Musa Wahab, Undang Luak Johol Datuk Mohd Jan Abdul Ghani dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.Mohamad, 57, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri dilantik semula ke jawatan menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan apabila menang 22 daripada 36 kerusi DUN pada PRU-13.Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 25 Mac 2004, menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan dilantik untuk penggal kedua selepas PRU 2008.Sementara itu ketika bertitah pada majlis berkenaan, Tuanku Muhriz mengingatkan bahawa semua wakil rakyat yang dipilih pada PRU-13, diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili dan menyuarakan segala permasalahan serta melindungi kepentingan mereka."Jangan sesekali mengkhianati amanah yang diberikan ini dengan menggunakannya untuk kepentingan diri sendiri. Menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada ini akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan sesuatu dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat," titah baginda.Mohamad dalam ucapan sembah ikrar taat setia kemudiannya berkata, tanggungjawab yang digalasnya bukanlah sesuatu yang mudah, namun beliau berjanji untuk melaksanakannya sebaik mungkin demi kemajuan agama, bangsa dan negara.Katanya, kesepakatan dan perpaduan semua pihak adalah faktor penting dalam memacu kemajuan negeri selari dengan program untuk pembangunan negara seperti yang diperincikan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10)."Apatah lagi ia (RMK-10) berada di tahap pertengahan pelaksanaannya. Oleh itu adalah amat wajar sokongan semua pihak untuk memastikan graf kemajuan negeri berada di paras yang membanggakan," katanya. - BERNAMA