suria

Wahid Dan Khairy Terima Ucapan Tahniah Daripada Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: PAS pada Rabu mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang dilantik menganggotai Jemaah Menteri Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar ketika dihubungi Bernama menyifatkan pelantikan Abdul Wahid, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd, adalah kesinambungan golongan teknorat dalam barisan Kabinet.

Sebelum ini bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Maybank Group, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dilantik menganggotai barisan Menteri Kabinet pada 2008 hingga 2009 dengan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Abdul Wahid dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan menjayakan program transformasi.

"Saya berharap Kabinet baharu ini boleh memberi banyak kebaikan kepada rakyat," kata Kamaruddin.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua dalam laman Twitter hari ini, mengucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

"Semoga anda membawa sukan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali dalam tweet beliau turut mengucapkan tahniah kepada Khairy.

"Tahniah YB (Yang Berhormat) Khairy di atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Mandat baharu demi pembangunan belia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain