KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu mengingati ajaran agama berkaitan keamanan dan perdamaian agar tidak terperangkap dalam Dilema Islam, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.Beliau berkata kerajaan di kalangan masyarakat Islam perlu menyedari manfaat potensi dan kebijaksanaan mematuhi garis panduan yang terdapat dalam perbendaharaan berharga warisan intelektual dan etika Islam. "Dilema yang dihadapi umat Islam kini ialah ketidakupayaan mengikuti pelbagai program yang sudah dimulakan. Kita telah membiarkan banyak peluang untuk keamanan dan kemajuan terlepas begitu sahaja sama ada disebabkan sesuatu dasar atau kegagalan melaksanakan dasar itu," katanya. Abdullah berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Islam and Peace Building in the 21st Century' sempena Forum Keamanan dan Keselamatan 2013 di sini Jumaat.Katanya, Islam dengan jelas mengajar bahawa perkongsian dan keadilan saksama adalah penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan."Islam adalah agama yang menganjurkan keamanan dan keselamatan abadi. Islam itu sendiri menggabungkan maksud keamanan dan keselamatan di dunia dan di akhirat," katanya.Abdullah berkata keamanan sebenar tidak akan tercapai apabila orang ramai tidak lagi berasa selamat, dan negara yang tidak aman tidak akan pernah damai dengan negara jiran."Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk memberi tumpuan dalam menetapkan syarat bagi kemajuan ekonomi dan sosial selain transformasi kerana kemiskinan, kelaparan serta kadar pengangguran yang tinggi merupakan punca ketidakstabilan dan ancaman terhadap keselamatan," katanya. -BERNAMA