suria

10 Anggota Exco Negeri Sembilan Angkat Sumpah

KUALA PILAH: Sepuluh anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Sembilan termasuk tujuh muka baru mengangkat sumpah jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan pada Rabu.

Istiadat mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini.

Tujuh muka baru ialah Abu Ubaidah Redza (Ampangan), Datuk Jalaluddin Alias (Pertang), Abd Razak Ab Said (Gemas) Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong), Tun Hairudin Abu Bakar (Bagan Pinang), Datuk Norhayati Omar (Pilah) dan L. Manickam (Jeram Padang).

Tiga exco yang dilantik semula pula ialah Adun Senaling Datuk Ismail Lasim, Datuk Hasim Rusdi (Labu) dan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Serting).

Pada majlis itu Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan dan menyaksikan semua exco menandatangani sumpah jawatan.

Portfolio yang akan dipegang oleh adun-adun terbabit dijangka diputuskan pada mesyuarat pertama exco yang akan dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada petang Rabu.

Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada semua Adun yang dipilih menganggotai exco dan menggesa mereka berkhidmat sebagai sebuah pasukan yang mantap dalam memajukan negeri.

Baginda bertitah semua yang dilantik harus melaksanakan amanah yang diterima ini dengan bersungguh-sungguh, ikhlas serta telus dan tidak mengkhianati amanah yang diberikan.

"Beta percaya dengan pelantikan ini juga, kamu akan memastikan segala kepentingan luar seperti kepentingan perniagaan akan dilepaskan kerana kedudukan yang diamanahkan ini bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan kepentingan diri sendiri," titah baginda.

Turut berangkat ke istiadat itu Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Rembau Datuk Muhamad Sharip Othman, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan serta beberapa anggota DUN dan Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain