KUALA LUMPUR: Seorang warga emas maut selepas terhumban jatuh dari jejambat Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke atas Jalan Klang Lama di sini pagi Ahad setelah motosikalnya dirempuh sebuah kereta.Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kontinjen Selangor Supt Zulkifli Joned berkata dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, Hassan Mohd Jani, 66, yang bersendirian menunggang motosikal jenis vespa, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala. "Hassan dipercayai baru pulang dari Pasar Pudu menuju ke rumahnya di Kampung Medan dilanggar sebuah kereta Nissan Sentra, mengakibatkan mangsa jatuh dari jejambat NPE, dengan ketinggian kira-kira 20 meter ke Jalan Klang Lama," katanya ketika dihubungi Bernama.Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000. - BERNAMA