SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan tujuh lelaki selepas bot mereka naiki mengalami kerosakan di perairan berhampiran Sungai Kinabatangan pada Sabtu.Pegawai Memerintah Kapal KD Sri Tiga, Left Komander Mohd Edie Mohd Khalil berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, bot tersebut dalam perjalanan ke Lahad Datu dari Sandakan. Katanya, tiba di tempat kejadian, enjin utama bot tersebut mengalami kerosakan lalu gagal berfungsi menyebabkan bot itu terkandas di situ."Selepas menerima panggilan kecemasan daripada mereka, dalam masa lebih kurang dua jam, anggota TLDM kapal KD Sri Tiga telah sampai di tempat kejadian dan memberi bantuan menyelamat tujuh lelaki termasuk juragan," katanya di sini Ahad.Menurutnya kesemua lelaki berkenaan adalah warganegara Malaysia dan mereka dalam keadaan baik.Mohd Edie berkata, bot berkenaan ditunda ke pangkalan TLDM KD Sri Sandakan.Salah seorang mangsa, Abdul Suhaidi Abdul Wahab, 47, berkata mereka mengalami keadaan cemas selepas enjin bot tidak dapat berfungsi semula, ditambah dengan cuaca buruk dan keadaan air laut yang berombak."Kami segera menghubungi TLDM untuk mendapatkan bantuan dan bersyukur mereka dapat dihubungi," katanya. - BERNAMA