suria

51 Peratus Graduan Dapat Kerja 6 Bulan Lepas Tamat Pengajian - Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 peratus atau 103,310 graduan berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian tahun lepas, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata statistik itu diperoleh daripada kajian pengesanan graduan yang dilaksana tahun lepas ke atas 249,612 individu yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam negara.

"Cuma (dari segi) gaji mereka, kerana selepas tamat belajar, hanya 30 peratus mendapat lebih daripada RM2,500 dan kita nak pastikan ia dipertingkat agar cita-cita untuk menjadi negara berpendapatan tinggi akan dapat dicapai," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan (K3G) 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Sabtu.

Idris berkata kajian itu juga menunjukkan 25.6 peratus atau 51,835 graduan belum mendapat pekerjaan.

Kajian itu juga mendapati 17.4 peratus iaitu 35,109 graduan melanjutkan pengajian, 1.5 peratus (2,949) mempertingkat kemahiran manakala 4.5 peratus (9,125) sedang menunggu penempatan kerja, katanya.

Idris juga berkata penganjuran K3G 2013 kelima ini secara tidak langsung dapat mempertingkat kemudahpasaran graduan menerusi penyediaan peluang pekerjaan dan menceburi bidang keusahawanan.

"Kementerian juga kini ingin memastikan lebih ramai graduan menjadi usahawan supaya mereka ini menjadi pencipta peluang pekerjaan bukan hanya pencari kerja dan ciri-ciri keusahawanan seperti berdaya saing, menjadi lebih kreatif ada di kalangan graduan di masa depan," katanya.

K3G 2013, yang bermula semalam dan berakhir pada Ahad, anjuran Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia itu menyaksikan 300 majikan dari agensi kerajaan serta swasta menyediakan hampir 4,000 peluang pekerjaan. - BERNAMA

Artikel Lain