KUCHING: Memperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan bukanlah satu langkah munasabah untuk menangani kegiatan yang menyentuh isu perkauman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pada Isnin.Katanya lebih 900 undang-undang yang sedang berkuat kuasa sudah cukup untuk menangani perkara berkenaan sekiranya ia dilaksanakan secara berkesan. "Undang-undang ini bukannya kurang berkesan tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat di Kompleks Mahkamah Kuching di sini.Nancy berkata ada pihak tertentu telah mengkritik kerajaan berikutan tindakan membatalkan ISA tetapi langkah berkenaan sebenarnya telah meletakkan Malaysia lebih ke hadapan berbanding beberapa negara lain."Mungkin buat masa ini masih belum ada alternatif yang jelas (undang-undang untuk menggantikan ISA) tetapi kita memang masih melihat dari semua sudut untuk melaksanakan mekanisme yang sesuai untuk bertindak terhadap kes-kes yang dahulunya diletakkan di bawah ISA," katanya. - BERNAMA