suria

Badan Pelajar Lelaki Tahun Satu Melecur Disambar Api Ketika Main Masak-Masak

KUALA TERENGGANU: Badan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun melecur hampir 75 peratus selepas pakaiannya disambar api ketika bermain masak-masak di Kampung Tetambah, Manir dekat sini Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Asrah Ramadi bermain bersama adik lelakinya yang berusia 6 tahun serta sepupu perempuan, 11.

Sepupu mangsa, Norazila Ibrahim, 24, berkata sebelum itu, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan dilihat bermain e-Book (komputer riba) di bangsal rumah datuk mereka sebelum turun bermain masak-masak di laman dan Asrah mengambil mancis di dalam rumah berkenaan.

Norazila yang kemudian dikejutkan dengan bunyi meminta tolong, bergegas ke luar dan melihat Asrah menggelupur sebelum bapa saudaranya memadamkan api di badan mangsa menggunakan kain.

"Mendengar keadaan riuh di luar rumah, kami berlari dan terkejut melihat Asrah melecur dengan tinggalan kesan sebahagian getah seluar dan kolar baju masih melekat di badannya.

"Dia sempat mengadu sakit dan kami terus kejarkannya ke hospital," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Beliau berkata anggota keluarga percaya Asrah telah mengambil minyak pelarut cat yang menyebabkan api menyambar badan mangsa.

"Biasanya, mereka ini suka main bola lepas balik sekolah bersama, tapi hari ini tidak sedar pula mereka bermain api," katanya.

Akibat kejadian itu, anggota badan Asrah melecur teruk manakala adik dan sepupunya tidak cedera.

Pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Kebor Besar itu dalam keadaan sedar namun tidak mampu bercakap dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HSNZ. - BERNAMA

Artikel Lain