Megat Firdouz Megat JunidPETALING JAYA: Kedudukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia boleh dicabar pada pemilihan parti tahun ini.Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, sayap parti itu terbuka jika ada mana-mana pihak yang ingin menawarkan diri bertanding merebut jawatan berkenaan. Menurut Megat Firdouz, usul agar jawatan ketua tidak dicabar hanyalah keputusan barisan exco Pemuda Umno Malaysia."Dalam mesyuarat exco Pemuda yang lepas, kami barisan exco sebulat suara mencadangkan dan menasihatkan kepada semua kepimpinan agar jawatan ketua pemuda Umno Malaysia tidak dicabar."Cadangan ini bagi membolehkan Khairy kekal sebagai ketua Pemuda dan meneruskan usaha memantapkan sokongan golongan muda kepada BN (Barisan Nasional) dan Umno," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pendirian sebenar exco Pemuda Umno mengenai kedudukan jawatan ketuanya pada pemilihan parti itu nanti.Penjelasan itu dibuat berikutan kenyataan berbeza Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan seperti yang dilaporkan media hari ini bahawa exco Pemuda Umno membuat ketetapan supaya kedudukan Khairy tidak boleh dicabar.Sohaimi dilaporkan berkata bahawa ketetapan itu diputuskan baru-baru ini dalam mesyuarat exco Pemuda yang bertujuan untuk memperkasakan pergerakan itu."Datuk Sohaimi tidak hadir mesyuarat yang lepas, jadi beliau tidak tahu apa yang sebenarnya kami putuskan," kata Megat Firdouz.