KEPALA BATAS: Dua belas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mohd Shah, Kampung Baru di Pinang Tunggal di sini mengalami sakit perut dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan.Kejadian itu berlaku pada 11.45 pagi selepas murid-murid dari Tahun Empat itu mengadu sakit perut selepas meminum susu kotak sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor, di sini. Seorang daripada murid berkenaan Mohd Danial Haikal berkata beliau berasa loya selepas minum susu itu sebelum meluru ke tandas untuk muntah."Selepas sedut sahaja susu yang manis itu perut saya memulas dan terasa hendak muntah sedangkan sebelum itu semasa makan nasi lemak di kantin saya tidak mengalami sebarang masalah," katanya.Rakan sekelasnya Zarith Sofia Mohd Rosdi berkata perutnya menjadi memulas-mulas selepas minum susu kotak itu pada waktu rehat."Perut saya biasa saja selepas makan waktu waktu rehat tetapi terus jadi sakit dan memulas selepas minum susu yang dibekalkan pihak sekolah. Saya kemudiannya muntah dan terpaksa pergi ke tandas beberapa kali," katanya.Sementara itu, seorang guru sekolah itu yang enggan dikenali berkata semua murid yang dihantar ke klinik bekenaan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil."Kita percaya susu yang dibekalkan itu tidak tercemar kerana telah mengambil langkah menyimpannya di tempat kedap udara di samping telah mengikut semua prosedur yang perlu dilakukan sebelum pelajar dibenarkan untuk meminumnya.Guru itu berkata 384 murid yang turut meminum susu kotak berkenaan pada hari ini tidak mengalami sebarang keracunan. - BERNAMA