suria

Annuar Musa Dilantik Pengerusi Mara

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilantik Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkuat kuasa 19 Julai lepas. "Berdasarkan latar belakang akademik serta pengalaman politik luas, Annuar akan dapat memantapkan lagi usaha serta peranan organisasi itu ke arah mengangkat martabat bangsa," menurut Mara dalam kenyataan di sini Selasa.

Annuar menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Menteri Pendidikan Kedua, berikutan pelepasan jawatan Pengerusi Mara yang disandang Idris sejak 2008, kerana bertanding dalam pilihan raya umum lalu.

Anggota pengurusan serta warga Mara mengalu-alukan serta mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Annuar Musa atas pelantikan sebagai Pengerusi Mara yang baharu, menurut kenyataan itu.

Annuar, 57, memiliki ijazah sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London serta ijazah sarjana muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah Bahagian Perancang Korporat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan.

Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Fama (1989-1990) dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

Annuar juga pernah menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan (1990-1993) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar (1993-1999).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Peringat (1986-1990) dan Kok Lanas (2004-2008) dan anggota Parlimen Peringat (1995-1999). - BERNAMA

Artikel Lain