suria

Anak Nancy Terselamat Pesawat Terhempas Di Selat Melaka

Faeroz bersyukur kerana terselamat.
Faeroz bersyukur kerana terselamat.
Faeroz bersyukur kerana terselamat.

MELAKA: Anak lelaki kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang terselamat dalam tragedi pesawat terhempas di perairan Selat Melaka malam Selasa bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup.

Faeroz Kamil, 27, yang merupakan pembantu juruterbang pesawat jenis Piper PA-28 itu berkata dia tidak panik dan berpegang kepada prinsip penerbangan bahawa dia harus bertenang ketika berdepan bencana.

Faeroz berkata dia tidak memakai jaket keselamatan semasa insiden itu dan menggunakan lampu picit yang ada padanya untuk menarik perhatian orang awam yang menunaikan solat tarawih di Masjid Selat, Pulau Melaka.

"Saya berusaha mengapungkan diri menghampiri bangkai pesawat. Saya diselamatkan oleh anggota bomba kira-kira pukul 9.30 malam," katanya pada Rabu.

Faeroz dan juruterbang Kapten Sharon Yee, 27, dan rakannya Soh Hsein Shoong, 22, terselamat dalam nahas itu.

Pesawat yang mereka naiki berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam untuk menjalani latihan penerbangan pada pukul 7.30 malam.

Kira-kira 40 minit penerbangan, juruterbang muda itu membuat panggilan ke menara kawalan.

Pesawat itu dipercayai mengalami kerosakan enjin di udara sebelum terhempas di Selat Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata operasi mengesan bangkai pesawat masih diteruskan dengan menggunakan sebuah helikopter dan empat bot.

Sementara itu, di Petaling Jaya, Nancy mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyelamatkan nyawa anaknya, Yee dan Soh.

Artikel Lain