suria

Zeti Diberi Penarafan "Gred A" Untuk Kali Ke-10

Zeti Akhtar
Zeti Akhtar
Zeti Akhtar

KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah diberikan penarafan "Gred A" di kalangan ketua-ketua bank pusat untuk kali ke-10 oleh majalah Global Finance.

Majalah itu yang beribu pejabat di New York dan pejabat di London, Rio de Janeiro dan Milan, menamakan ketua-ketua bank pusat Malaysia, Filipina dan Taiwan sebagai tokoh bank pusat terbaik dunia untuk tahun 2013 sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang masing-masing.

Gabenor Bank Pusat Filipina, Amando Tetangco Jr dan Gabenor Bank Pusat Taiwan, Fai-nan Perng turut berada dalam senarai.

Menurut Global Finance, tokoh-tokoh bank itu dinilai atas keazaman mereka mengharungi campur tangan politik dan usaha mereka mempengaruhi kerajaan masing-masing mengenai isu-isu seperti perbelanjaan dan keterbukaan ekonomi kepada pelaburan asing dan perkhidmatan kewangan.

"Dengan ekonomi-ekonomi maju memulakan laluan berperingkat ke arah pemulihan dan beberapa pasaran sedang pesat membangun terus lembap, tokoh-tokoh bank pusat dunia berhadapan dengan tempoh yang mencabar dalam menguruskan dasar monetari untuk merangsangkan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi secara positif," katanya.

"The Central Banker Report Cards", yang diterbitkan setiap tahun oleh Global Finance sejak 1994, memberikan penarafan kepada gabenor bank pusat di lebih 50 negara utama (dan Kesatuan Eropah) pada skala "A" hingga "F" bagi kejayaan dalam bidang-bidang seperti kawalan inflasi, matlamat pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.

Global Finance, diasaskan pada 1987, dengan pengedaran 50,050 dan pembaca di 163 negara. - BERNAMA

Artikel Lain